Monday, March 29, 2010

Pelan Integriti Nasional

Perutusan Y.A.B Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi

Perdana Menteri Malaysia

Malaysia telah mencapai kejayaan cemerlang sebagai sebuah negara membangun dan sedang berusaha menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri. Untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, negara kita harus bijak mengurus kejayaan, serta dengan tegas dan berkesan mengatasi pelbagai kelemahan dan kekurangannya. Cabaran besar yang perlu ditanganinya dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti.

Dalam perkhidmatan awam, Kerajaan telah melaksanakan Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia melalui Arahan Y.A.B. Perdana Menteri No.1 Tahun 1998, khususnya melalui penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di semua kementeriaan, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Namun, belum ada satu mekanisme menyeluruh untuk melibatkan semua sektor lain seperti sektor swasta, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agama, media, wanita, belia dan pelajar dalam gerakan pemantapan integriti secara bersepadu. Dalam hubungan inilah Kerajaan telah menggubal dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang berperanan sebagai pelan induk bertujuan memberikan bimbingan kepada keseluruhan sektor tersebut.

Semangat dan prinsip Perlembangaan Persekutuan, falsafah dan prinsip Rukun Negara serta aspirasi dan cabaran Wawasan 2020 menjadi pedoman bagi penggubalan dan pelaksanaan PIN. Bahkan, objektif umum PIN ialah memenuhi cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu "membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur."

PIN ialah sebuah pelan integriti yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. PIN digubal dengan mengambil kira keseluruhan pandangan dan cadangan yang disampaikan melalui satu siri seminar kebangsaan yang berlangsung selama kira-kira dua bulan, yang melibatkan para peserta daripada hampir kesemua sektor masyarakat dan negara Malaysia. Justeru itu, PIN mencerminkan hasrat bersama para pemimpin dan rakyat negara kita.

Bagi memastikan gerakan pemantapan integriti berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, PIN menyusun keutamaan dan menetapkan sasarannya. Bagi tempoh lima tahun pertama (2004-2008), PIN menetapkan lima sasaran keutamaan yang hendak dicapai. Sasaran yang dikenali sebagai TEKAD 2008 ini ialah:

* Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan;
* Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi;
* Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;
* Memantapkan institusi keluarga; dan
* Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Untuk mencapai TEKAD 2008, pendekatan dan strategi umum yang digunakan oleh PIN ialah menggerakkan semua sektor di seluruh negara dan masyarakat supaya mendukung dan menghayati semangat PIN. Mereka juga harus bekerjasama dan berkoordinasi di antara satu sama lain untuk melaksanakan pelbagai programnya.

Gerakan pemantapan integriti memberi tumpuan kepada peningkatan integriti daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat atas. Kesemua komponen dan sektor berikut dilibatkan, iaitu keluarga, komuniti, dan masyarakat sivil (yang di dalamnya terdapat pelbagai badan bukan kerajaan), membawa kepada sektor agama, sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan), ekonomi, politik dan pentadbiran. Dengan demikian, gerakan ini benar­benar bersifat menyeluruh dengan meliputi semua lapisan dan sektor negara dan masyarakat. Oleh sebab pendekatan ini melibatkan penjalinan kekuatan pelbagai 'institusi dari bawah' serta penggemblengan keseluruhannya dengan 'pihak atas' untuk tujuan meningkatkan integriti, maka ia mempunyai dinamisme dan keampuhannya yang tersendiri.

Serentak dengan pelancaran PIN, Kerajaan juga menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM). Kerajaan yakin sebagai mekanisme pelaksana dan pengkoordinasi pelaksanaan PIN, Institut ini akan dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan.

Gerakan pemantapan integriti yang dipacu oleh PIN dan dikoordinasikan oleh IIM ialah suatu gagasan yang semakin menawan imaginasi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. la sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi mengurus kejayaan dan mengatasi kelemahan dengan berkesan. Pelancaran PIN dan penubuhan Institut ini akan menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini akan membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Mengurus Kejayaan


1. Malaysia ialah sebuah negara sedang membangun yang telah mencapai kejayaan besar dalam pelbagai bidang, dan kini sedang berusaha menjadi sebuah negara maju menu rut acuan sendiri menjelang tahun 2020. Untuk menjadi sebuah negara dan masyarakat yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang, Malaysia perlu bijak mengurus kejayaannya agar ia dapat diperkulruh dan dipertingkatkan.

2. Transformasi ke arah menjadi masyarakat maju bukan sahaja diasaskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga kemajuan dalam pembangunan sosial, budaya, intelek dan rohani. Fokus terpenting bagi pembangunan sedemikian ialah peningkatan dan pemantapan etika dan integriti yang perlu menjadi budaya masyarakat. Hanya dengan demikian, barulah kejayaan yang dicapa,i dapat dilestarikan, kesejahteraan rakyat dapat dipelihara dan ditingkatkan. Dengan cara itu juga prasarana Dunia Pertama yang sudah pun terdapat di Malaysia tidak disia-siakan atau disalahgunakan, manakala sikap dan mentaliti Dunia Ketiga dapat dikikis.

3. Perangkaan atau data penting Malaysia memperlihatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2003 telah meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM229.3 billion. Pertumbuhan ini dijangka meningkat pada kadar 5.5 hingga 6 peratus dalam tahun 2004. Kemudahan prasarana negara semakin menyeluruh dengan liputan bekalan elektrik dan bekalan air masing-masing mencapai tahap 94 dan 92 peratus sehingga tahun 2002. Pendidikan peringkat rendah telah mencapai 97.8 peratus kemasukan, manakala kadar celik huruf pada tahun 2002 adalah pada tahap 94 peratus. Jangka hayat lelaki dan wanita juga telah meningkat masing-masing kepada 70.4 tahun dan 75.3 tahun manakala kadar kematian bayi semasa lahir juga telah menurun dari 6.6 bagi setiap satu ribu pada tahun 2001 kepada 6.2 pada tahun 2002. Pembangunan, pertumbuhan dan daya saing negara seperti ditunjukkan daripada perangkaan ini banyak didasari oleh pengukuhan elemen-elemen nilai murni, integriti dan akauntabiliti. Di samping itu, ia juga berasaskan pertanggungjawaban semua pihak bagi memastikan kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat dikecapi secara berterusan.

4. Pada masa yang sama, kesedaran rakyat semakin meningkat supaya gejala yang bertentangan dengan prinsip etika dan integriti seperti rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan ketidakcekapan dihapuskan. Rakyat menuntut integriti dipertahan dan dipertingkatkan dalam semua urusan kerajaan, swasta, parti politik, media, kesatuan sekerja, NGO, belia, pelajar, dan masyarakat umum.

Komitmen Kerajaan Malaysia

5. Kerajaan Malaysia sangat komited kepada usaha pembangunan negara secara total. Dasar-dasar negara yang mencakupi bidang politik, pentadbiran, ekonomi dan sosial telah diperkenal dan dilaksanakan secara menyeluruh dan teratur. Kemajuan Malaysia masa kini adalah hasil daripada perancangan yang teliti oleh pihak Kerajaan dan agensi-agensinya, pihak swasta, serta pelbagai sektor masyarakat secara bersepadu dan berterusan.

6. Semenjak tahun 1951 sehingga kini, Mataysia telah pun melaksanakan sebelas rancangan lima tahunnya. Sejak tahun 1971 pula, negara ini telah dibimbing oleh tiga Pelan Jangka' Panjang, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) (1991-2000), dan Dasar Pembangunan Wawasan (DPW) (2001-2010).

7. Hala tuju dan prinsip dalam ketiga-tiga pelan jangka panjang ini dipandu oleh semangat dan prinsip negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020. Perlembagaan Persekutuan menggariskan kontrak sosial yang menjadi pedoman kerukunan hidup serta kemajuan negara dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Rukun Negara ialah falsafah dan ideologi negara yang diisytiharkan pad a 1970 untuk membentuk konsensus baru, menyatupadukan masyarakat berbilang kaum serta membangunkan sebuah masyarakat yang adil, demokratik, liberal dan progresif. Wawasan 2020 yang diumumkan pad a tahun 1991 mengandungi aspirasi negara ini untuk menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri serta cabaran­cabaran yang perlu ditanganinya dalam usaha merealisasikan aspirasi itu. Prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020 menjadi asas pelbagai dasar dan strategi yang dilaksanakan di Malaysia sehingga ke hari ini.

Langkah Berterusan Mempertingkatkan Etika dan Integriti dalam Sektor Awam

8. Kerajaan menyedari bahawa sektor awam merupakan instrumen terpenting dalam pengurusan dan pentadbiran, penyampaian perkhidmatan dan pembangunan negara. Justeru, pembudayaan etika dan integriti mestilah pada setiap masa diterjemahkan dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan tanggungjawab sektor ini. Penerapan, penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni serta bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa perlu sentiasa diperkukuhkan dan menjadi am alan berterusan. Ke arah ini, Kerajaan telah memperkenal dan melancarkan pelbagai program bagi memantap dan mempertingkatkan nilai-nilai murni dan integriti perkhidmatan awam sejak kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun, usaha yang lebih terfokus dilaksanakan sejak tahun­tahun 1980an. Tumpuan diberikan kepada penghayatan konsep 'Sersih, Cekap danAmanah', 'Penerapan Nilai-Nilai Islam', 'Sudaya Kerja Serkualiti', 'Kod Etika Kerja', 'Piaggam Pelanggan' dan 'ISO 9000'.

9.Di samping itu, bagi memastikan penguatkuasaan usaha pencegahan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, Kerajaan melalui Parlimen telah meluluskan Akta Pencegah Rasuah, 1961, bagi menggantikan The Prevention of Corruption Ordinance 1950. Dalam tahun 1967, Sadan Pencegah Rasuah (SPR) telah ditubuhkan bertujuan menghapuskan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Dengan mengambil kira perkembangan dalam negeri dan antarabangsa, Akta ini kemudian disemak pada tahun 1971 dan seterusnya dimansuhkan serta digantikan dengan Akta Pencegahan Rasuah 1997. Sejak penubuhannya sehingga kini, BPR telah memainkan peranan penting dalam memerangi rasuah, memelihara integriti pentadbiran Kerajaan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

#
Kerajaan juga telah menubuhkan Biro Pengaduan Awam (SPA) sebagai salah satu mekanisme dan saluran bagi orang ramai mengemukakan aduan mengenai salah tadbir, salahguna kuasa dan penyelewengan dalam perkhidmatan awam. Jabatan Audit Negara dibentuk untuk mengaudit Penyata Akaun Awam bagi memastikan pengurusan perbelanjaan, hasil dan aset Kerajaan dilaksanakan secara berhemah mengikut undang­undang dan peraturan. Manakala Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) ditubuhkan, antara lain, sebagai peneraju pembaharuan pentadbiran dalam mewujudkan perkhidmatan awam yang moden, cekap dan berkesan.

#
Bagi memantapkan keutuhan pengurusan dan pentadbiran, Kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK), dengan meletakkan isu keutuhan atau integriti pengurusan Kerajaan sebagai fokus utamanya. Pad a masa ini Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.A.S. Perdana Menteri.

#
Langkah di peringkat Kerajaan Pusat ini telah disusuli dengan pembentukan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di peringkat persekutuan, negeri dan daerah. Dengan demikian keutuhan pengurusan bukan sahaja menangani isu integriti peringkat teratas, tetapi juga jentera pentadbiran pelbagai peringkat sehingga ke peringkat akar umbi.

#
Objektif Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan di semua peringkat ialah untuk memastikan bahawa jentera pentadbiran Kerajaan terus-menerus cekap, berdisiplin dan berpegang teguh kepada syarat keutuhan yang paling tinggi dengan berpandukan nilai-nilai murni. Pad a masa yang sama, ia juga bertujuan mengatasi masalah dan kelemahan khususnya dalam pengurusan kewangan, pelanggaran disiplin, gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.

#
Sebagai suatu garis panduan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni. Kerajaan telah mengenalpasti satu himpunan nilai teras sebagai panduan untuk dihayati dan dilaksanakan oleh penjawat sektor awam. Himpunan nilai teras itu ialah amanah, benar, bijaksana, adil, telus dan bersyukur. Ini adalah nilai induk bagi sesebuah organisasi yang beradab dan patut dihayati oleh setiap warga perkhidmatan awam. Selain itu. Kerajaan juga mengenalpasti nilai kembangan, yakni nilai yang dibentuk dari bawah, terdiri daripada nilai yang sesuai dan relevan dengan kepakaran dan operasi organisasi berkenaan, yang akan mendukung pencapaian yang dituntut oleh nilai teras. Mekanisme JKP yang ditubuhkan di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah bertanggungjawab menerapkan nilai­nilai tersebut.

#
Terdapat lapan terma rujukan yang menjadi panduan JKP, iaitu Perundangan. Sistem dan Prosedur Kerja, Nilai-nilai Murni dan Etika, Kod Etika, Pengiktirafan. Kawalan Dalaman, Tindakan Pengesanan dan Punitif, serta Tindakan Pemulihan. JKP merupakan suatu mekanisme yang berstruktur dengan pelaporan berkala bertujuan memantapkan lagi keutuhan sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan Malaysia secara dalaman, menyeluruh, sistematik dan berterusan.

#
Selain daripada penekanan elemen etika dan integriti yang dinyatakan di atas, Kod Etika Hakim (1994) dan Kod Etika Bagi Anggota-Anggota Pentadbiran (1997) juga telah digubal dan diguna pakai.

Langkah-langkah Peningkatan Etika dan Integriti dalam Sektor Swasta

#
Sektor swasta adalah pemacu pembangunan dan penjana pertumbuhan ekonomi Malaysia. Isu utama mengenai integriti sektor swasta yang dititikberatkan dewasa ini ialah tadbir urus korporat. Sifat ekonomi Malaysia yang terbuka dan kemakmuran ekonomi selama beberapa dekad ini memberi peluang bukan sahaja kepada sektor swasta luar negara untuk beroperasi di negara ini. tetapi juga untuk sektor swasta dalam negeri beroperasi di pasaran global. Walau bagaimanapun. beberapa peristiwa yang berlaku di peringkat dunia dan di dalam negeri dalam tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan betapa pentingnya tadbir urus terbaik dijadikan prinsip yang menjiwai syarikat serta membimbing perlakuan para pegawainya. Prinsip ini menggariskan bagaimana para pegawai tersebut harus bertingkah laku dan bertanggungjawab terhadap para pelabur dan pihak berkepentingan yang lain. Pelbagai skandal dan penyelewengan yang melibatkan syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan menunjukkan betapa pentingnya isu tadbir urus terbaik dilaksanakan.

#
Salah satu masalah yang menjejaskan integriti sektor swasta ialah penglibatannya dengan gejala rasuah. Sektor swasta kerap dilihat sebagai pemberi rasuah manakala penjawat awam dilihat sebagai penerima rasuah. Walau bagaimanapun, gejala rasuah sama ada dalam bentuk memberi dan menerima juga berlaku dalam sektor swasta. Memandangkan betapa seriusnya masalah ini, satu konvensyen antarabangsa, iaitu Organization for Economic Cooperation Development (OECD) Anti-Bribery Convention telah ditandatangani oleh 35 buah negara pada 1999 untuk menangani dan mencegah amalan pemberian rasuah oleh syarikat multinasional dan meningkatkan integriti mereka. Konvensyen ini mengharamkan tindakan menyogok oleh syarikat-syarikat tersebut.

#
Namun begitu, usaha mence~ah gejala rasuah dalam sektor swasta masih tidak mencukupi. Setakat ini masih belum terdapat tindakan undang­undang yang cukup berkesan diambil oleh negara-negara penandatangan Konvensyen berkenaan terhadap pelbagai syarikat dan pegawai mereka yang memberi dan menerima rasuah. Pad a masa yang sama, gejala jenayah korporat yang lain seperti penipuan telah menjejaskan kredibiliti dan integriti sektor tersebut di kalangan pelabur dan juga anggota masyarakat. Justeru, usaha meningkatkan integriti sektor korporat menjadi amat penting.

#
Gejala-gejala di atas menegaskan satu hakikat pokok, iaitu betapa pentingnya prinsip tadbir urus terbaik menjadi nadi dan jiwa sektor korporat. la juga menunjukkan betapa pentingnya pengawasan dan penguatkuasaan oleh institusi yang berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas sektor tersebut agar gejala semacam ini dapat dibendung, integriti ditingkatkan dan kemakmuran ekonomi dapat dikekalkan.

#
Sementara Jawatankuasa Keutuhan pengurusan (JKP) merupakan mekanisme sektor awam untuk menangani isu etika dan integriti dalam perkhidmatan awam dan Kerajaan, sektor swasta tidak mempunyai mekanisme yang sama. Namun, satu langkah positif telah diambil oleh Kementerian Kewangan dengan menubuhkan Jawatankuasa Kewangan Tingkat Tinggi (High Level Finance Committee) pad a 1998 sejurus selepas krisis kewangan 1997.

#
Hasil inisiatif tersebut, satu kod mengenai tadbir urus korporat yang dikenali sebagai Malaysian Code on Corporate Governance (MCCG) telah diterbitkan pad a Mac tahun 2000. Walaupun pad a mulanya MCCG tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak swasta, keadaan berubah sejak Januari 2001 apabila Malaysia Securities Exchange Berhad (MSEB) menguatkuasakan Revamped Listing Requirements dan menerimapakai kod ini. Oalam syarat penyenaraian bagi syarikat, MSEB tidak menjadikan kepatuhan pada prinsip dan amalan terbaik dalam MCCG sebagai syarat mandatori. Walau bagaimanapun, semua syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dituntut supaya bersifat telus dengan melakukan disclosures seperti yang dituntut dalam syarat penyenaraian atau Listing Requirements. Mereka diwajibkan membuat laporan mengenai pelbagai perkara seperti yang dituntut oleh syarat penyenaraian.

#
Setiap syarikat dalam Laporan Tahunan masing-masing dikehendaki memasukkan Kenyataan Mengenai Tadbir Urus Korporat yang melaporkan bagaimana prinsip-prinsip dalam kod MCCG diterapkan serta seta kat mana amalan terbaik dalam kod ini dipatuhi. Sekiranya amalan terbaik ini tidak dipatuhi, maka syarikat diperlukan membuat penjelasan dan menerangkan amalan alternatif yang mereka laksanakan. Dengan cara ini, syarikat terpaksa meningkatkan ketelusan dan pertanggungjawabannya.

#
Dalam sektor kewangan pult Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Pelan Induk Ke Arah Masa pepan Yang Lebih Terjamin pada bulan Mac 2001. Pelan induk ini memberikan hala tuju sistem kewangan bagi tempoh sepuluh tahun sehingga 2010. Objektif pelan ini adalah untuk mewujudkan sistem kewangan yang berdaya saing, berdaya tahan dan dinamik dengan amalan-amalan terbaik yang mampu memenuhi permintaan pengguna dan perniagaan yang semakin canggih. Sistem ini juga harus dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi, serta cabaran globalisasi dan liberalisasi.

#
Selain itu, satu himpunan etika dalam bidang perniagaan yang dikenali sebagai Rukuniaga Malaysia juga telah digubal dan diterimapakai oleh Kementerian Perdagangan Oalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sejak tahun 2002. Rukuniaga Malaysia menggariskan enam prinsip dalam urusan perniagaan iaitu: Berlaku benar dalam amalan perniagaan; Bertanggungjawab kepada pelanggan, masyarakat dan persekitaran; Berperikemanusiaan kepada semua insan; Kesederhanaan tingkah laku dalam perniagaan; Saksama terhadap pelanggan; dan Kesungguhan menjayakan perniagaan. Sebilangan syarikat telah menerima Rukuniaga Malaysia sebagai pedoman dalam urusan perniagaan mereka.

Langkah-langkah Peningkatan Etika dan Integriti dalam Sektor Lain

#

Sejumlah badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) juga telah menggubal kod etika masing-masing untuk memastikan peningkatan etika dan integriti dalam organisasi mereka. Badan-badan profesional di Malaysia, misalnya, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia, Persatuan Akauntan Bertauliah, Lembaga Arkitek Malaysia dan lain-lain mempunyai kod etika masing­masing yang perlu dipatuhi oleh pengamal profesion berkenaan. Bahkan, para pelajar institusi pengajian tinggi dalam profesion berdaftar seperti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang juga perlu mengikuti kursus etika sebagai syarat bagi mereka mendapat kelulusan dalam bidang itu dan menjadi pengamalnya.

#
Selain itu, persatuan pengguna, pertubuhan perguruan, pertubuhan pemberi khidmat penjagaan dan pertubuhan alam sekitar juga telah menggubal kod etika mereka. Juga, terdapat badan-badan lain di kalangan masyarakat sivil yang memantau pelaksanaan etika dalam beberapa bidang seperti hak asasi manusia, tadbir urus terbaik dan ketelusan, serta amalan pilihan raya dan demokrasi di Malaysia. Kesemua ini menunjukkan bahawa kesedaran dan komitmen terhadap etika dan integriti di kalangan pelbagai sektor masyarakat Malaysia semakin meningkat.

Perlunya Satu Mekanisme Menyeluruh

#
Apa yang nyata daripada huraian di atas ialah usaha peningkatan etika dan integriti masih merupakan usaha yang tidak bersepadu, tidak menyeluruh, dan bergerak secara bersendirian tanpa sinergi semua sektor untuk melaksanakannya. Oleh yang demikian, suatu mekanisme menyeluruh yang merangkumi semua sektor perlu dibentuk dan agenda integritinya dilaksanakan secara berkoordinasi.

#
Untuk tujuan itu, suatu peranc,ngan menyeluruh yang dikenali sebagai Pelan Integriti Nasional (PIN dibentuk dengan memberi fokus kepada matlamat pemantapan etika dan integriti serta membudayakan integriti di kalangan semua anggota masyarakat. Semua pihak iaitu Kerajaan, swasta, parti politik, institusi agama, kesatuan sekerja, NGO, wanita, media, belia, pelajar dan golong an lain dalam masyarakat dari setiap pelusuk negara, secara keseluruhannya perlu meningkatkan kefahaman dan komitmen mereka terhadap integriti .

#
Seiring dengan penggubalan PIN, Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan. IIM adalah mekanisme yang mengkoordinasikan pelaksanaan PIN.

Kesimpulan

#
Gerakan pemantapan integriti semua lapisan masyarakat dibimbing oleh PIN dan dikoordinasikan pelaksanaannya oleh IIM. Gerakan ini terus menjadi inspirasi dan kekuatan bagi membina Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Falsafah PIN


1. Pelan Integriti Nasional (PIN) digubal dengan merangkumi semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Hakikat kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama adalah suatu kurniaan dan kelebihan untuk dimanfaatkan. PIN juga menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara, iaitu membina masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal dan pro"gresif serta berpegang teguh pad a lima prinsip Rukun Negara. PIN turut dibimbing oleh falsafah dan cabaran Wawasan 2020 ke arah mewujudkan sebuah negara maju menurut acuan sendiri menjelang 2020.

2.Sebagai sebuah pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat dan dilaksanakan untuk kesejahteraan mereka, PIN mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan negara Malaysia. Di samping itu, PIN mengambil kira perkembangan antarabangsat pengalaman negara-negara lain serta impak arus globalisasi.

3.Ringkasnya, PIN adalah kesinambungan dan penterjemahan falsafah, prinsip, dan matlamat yang hendak dicapai dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta beberapa dasar strategik sebelum ini, di samping mengambil kira pelbagai perkembangan dan cabaran baru.

Konsep

4. PIN ialah sebuah pelan induk yang bertujuan memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. PIN juga memupuk, menyemai dan membaja sistem kehidupan masyarakat dan negara dalam usaha besar membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika, sekaligus negara yang berintegriti.

5. PIN merupakan suatu gagasan yang dicetuskan oleh pucuk pimpinan dengan sokongan padu rakyat pelbagai kaum, lapisan dan wilayah. Kerjasama antara semua pihak ini menjadi kekuatan bagi mengubah atau menambahbaik nilai dan amalan masyarakat serta institusinya.

6. Pendekatan PIN ialah mengkoordinasikan usaha semua komponen dan sektor dalam gerakan pemantapan integriti. PIN memerlukan keseluruhan institusi governan negara iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman supaya meningkatkan integriti mereka, menghormati dan mempertahankan prinsip pemisahan kuasa, serta melaksanakan fungsi masing-masing dengan cekap, telus, adil dan berkesan. PIN juga memerlukan pelbagai komponen dan institusi dalam masyarakat supaya merangka dan melaksanakan program pemantapan integriti mereka. Sinergi pelaksanaan program integriti oleh semua komponen dan sektor tersebut akan dengan sendirinya menyumbang kepada pemantapan integriti seluruh masyarakat dan negara.

Objektif Umum

7. Objektif umum PIN ialah untuk merealisasikan hasrat Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah negara maju menurut acuan sendiri dengan "membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

Objektif khusus

8. Objektif khusus PIN adalah seperti berikut :
*
Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;
*
Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang;
*
Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti;
*
Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan
*
Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan

Kesimpulan

9. Penghayatan dan penterjemahan falsafah, prinsip dan objektif PIN oleh pelbagai sektor masyarakat dan negara sudah pasti akan menjadi suatu kekuatan yang ampuh bagi mengubah wajah masyarakat dan negara Malaysia. Kekuatan ini juga akan membolehkan Malaysia menangani cabaran baru abad ke-21 dengan lebih berkesan. Kesemua ini akan menyumbang kepada pencapaian cita-cita menjadi masyarakat maju mengikut acuan sendiri.

Pendekatan Umum


1. Gerakan pemantapan integriti adalah satu gerakan menyeluruh dan berterusan yang dipandukan oleh prinsip dan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendekatan umum PIN ialah menggerakkan semua komponen dan sektor negara dan masyarakat supaya mendukung dan menghayati objektif dan matlamat PIN serta bekerjasama dan berkoordinasi di antara satu sama lain untuk mencapai cita-citanya. Pendekatan ini melibatkan penjalinan kekuatan pelbagai komponen 'dari bawah' yang bekerjasama sesama sendiri serta penggemblengan kekuatan tersebut dengan 'pihak atas' untuk tujuan meningkatkan integriti. Oi antara pelbagai komponen itu terdapat timbal balas yang berterusan. Sementara 'pihak atas' memberikan bimbingan dan menunjukkan teladan mengenai integriti, 'pihak bawah' pula memberikan sokongan, maklum balas dan kawalan kepada 'pihak atas'. Oengan cara ini, gerakan pemantapan integriti meningkatkan dinamika dat kekuatannya.

2. Setiap komponen atau sektor perlu mempunyai dan melaksanakan strategi dan program integriti masing-masing selaras dengan PIN. Strategi, program dan aktiviti itu perlu diulangkaji dari semasa ke semasa. Ulangkaji itu ialah untuk menilai keberkesanan dan memperbaiki kelemahannya agar integriti secara selangkah demi selangkah menjadi budaya masyarakat dalam jangka panjang.

Komponen Terlibat
3. Keseluruhan komponen atau institusi berikut terlibat dalam gerakan ini (sila lihat Gambarajah 2):

3.1 Keluarga;

3.2 Komuniti;

3.3 Masyarakat Sivil (Pertubuhan Bukan-Kerajaan);

3.4 Sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan);

3.5 Agama;

3.6 Ekonomi;

3.7 Politik; dan

3.8 Pentadbiran.

Mekanisme Pelaksanaan

4. Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti di setiap komponen atau institusi adalah tanggungjawab agensi yang sudah sedia wujud dalam komponen itu sendiri. Bagi komponen yang tidak ataupun belum mempunyai mekanisme berkenaan, usaha ke arah pembentukan mekanisme ini perlu dilakukan.

5. Pada masa ini di sektor awam sudahpun terdapat mekanisme pelaksanaan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di pelbagai peringkat. Mekanisme ini perlu diperkukuhkan dengan komitmen yang lebih tinggi semua lapisan kepimpinan supaya ia menjadi lebih berkesan. Bagi sektor swasta, terdapat badan-Dadan yang mewakili kepentingan majikan seperti dewan perniagaan dan persatuan lain yang boleh memainkan peranan ini. Badan pengawalan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan untuk sektor-sektor berkenaan.

6. Bagi komponen lain seperti keluarga, komuniti, masyarakat sivil, dan sosiobudaya, terdapat pelbagalagensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah sedia wujud dari yang boleh menjadi penggerak dalam melaksanakan program integriti masing-masing. Pemantauan oleh mana­mana agensi seperti Pendaftar Pertubuhan, misalnya, perlu dilakukan secara berkesan. Walau bagaimanapun, pemantauan dan penyelarasan paling berkesan ialah oleh badan-badan dalam komponen itu sendiri.

7. Kepentingan golongan pelajar, belia, wanita, golongan agama dan pelbagai kumpulan etnik, khususnya golongan minoriti, penduduk bandar dan luar bandar serta golongan bawahan, perlu diberikan perhatian khusus dalam gerakan pemantapan integriti. Pemerkasaan atau empowerment melalui penglibatan golongan-golongan ini dalam proses pembuatan keputusan di pelbagai peringkat patut dititikberatkan, manakala perasaan tersisih atau terpinggir perlu diatasi. Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti masing-masing juga harus dilakukan melalui pelbagai badan yang sedia wujud.

8. Bagi kelompok seperti pelajar, belia, dan wanita, terdapat banyak organisasi yang mewakili mereka. Bahkan, di peringkat kebangsaan masing-masing mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Majlis Perundingan Belia Kebangsaan, dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Bagi golongan pekerja, terdapat CUEPACS dan MTUC masing-masing untuk pekerja sektor awam dan sektor swasta. Bagi golongan petani dan nelayan, terdapat Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan, untuk kelompok masing-masing yang bergerak di peringkat nasional dan juga peringkat akar umbi.

9. Bagi penganut agama, terdapat banyak pertubuhan dan institusi agama pelbagai kaum di peringkat nasional dan tempatan. Badan-badan ini perlu membimbing ahli mereka supaya menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni agama masing-masing. Badan-badan ini juga perlu memainkan peranan mengukuhkan perpaduan dan persahabatan, sekaligus memupuk sikap saling memahami dan menghormati antara penganut agama yang berlainan.

10. Kelompok etnik mempunyai banyak pertubuhan khusus yang mewakili kepentingan etnik masing-masing. Hak dan kepentingan wajar golongan etnik perlu dihormati. Namun, kecenderungan bergerak mengikut garis etnik perlu diselaraskan dengan kepentingan membina sebuah komuniti nasional yang bersatu padu dan harmoni. Pelbagai pertubuhan yang mewakili kepentingan etnik perlu melaksanakan program integriti masing­masing yang menitikberatkan nilai perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara kaum di samping menekankan nilai-nilai terbaik etnik sendiri.

11. Untuk menjamin kejayaan gerakan pemantapan integriti, pelaksanaan, pemantauan, serta koordinasi atau penyelarasan pelaksanaan program haruslah dilakukan 'dari bawah' melalui pemerkasaan komponen atau sektor masing-masing. Pemantauan dan penyelarasan yang dilakukan secara pentadbiran yang birokratik boleh membantut daya usaha akar umbi dan ini harus dielakkan. Sensitiviti pelbagai lapisan atau komponen masyarakat terhadap campur tangan, pihak lain perlu diambil perhatian. Sikap terhadap mana-mana golongan ataupun pertubuhan perlu tepat dan membina. Tindakan melabelkan mereka oleh pihak berkuasa dan pihak lain tidak harus dilakukan.

Kesimpulan


12. Supaya setiap komponen atau sektor dapat bertemu, berkongsi pengalaman dan berdialog antara satu sarna lain di pelbagai peringkat, menilai keberkesanan program integriti masing-masing serta membaharui komitmen mereka kepada usaha peningkatan integriti, satu Konvensyen Integriti perlu diadakan secara berkala. Konvensyen yang menjadi forum pertemuan semua komponen dan sektor ini akan dianjurkan di pelbagai peringkat dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan.

13. Institut Integriti Malaysia (IIM) yang ditubuhkan serentak dengan pelancaran PIN berperanan selaku penganjur Konvensyen ini secara bersama dengan pelbagai sektor berkenaan. IIM juga berperanan selaku penyalur sebarang perakuan yang terbit daripada Konvensyen tersebut kepada Kerajaan serta pelbagai pihak lain yang bekenaan.

Pencapaian Sasaran


1. Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksanakan secara berperingkat dan tempoh 2004-2008 merupakan fasa pertama pelaksanaannya. Dalam tempoh ini, pelbagai program dan aktiviti yang dicadangkan dalam Strategi dan Pelan Tindakan PIN akan dilaksanakan. Melalui pelaksanaan, pemantauan dan penilaian ke atas keberkesanan pelbagai program dan aktiviti itu, Kerajaan menjangkakan beberapa sasaran penting yang digariskan oleh PIN akan tercapai.

Faktor Penentu

2. Pencapaian pelbagai objektif Strategi dan Pelan Tindakan PIN bergantung kepada dinamika dan daya tahan gerakan pemantapan integriti serta keupayaannya meresap ke akar umbi sehingga menjadi gerakan rakyat. Antara faktor kritikal bagi mencapai sasaran tersebut ialah: Kepimpinan berteladan; Dasar yang utuh, Matlamat yang jelas; Pendidikan berterusan dan berulang; Komunikasi berkesan; Persekitaran budaya yang kondusif; Kerjasama jentera politik dan pentadbiran; Kerangka perundangan berkesan dan Kehakiman yang bebas; Kecukupan dan kecekapan sumber; dan Kesediaan individu untuk berubah (sila lihat Gambarajah 4).

Kepimpinan Berteladan

3. Kepimpinan adalah antara faktor penentu terpenting bagi kejayaan PIN. Kepimpinan sedemikian mempunyai iltizam politik yang teguh, berwawasan, menetapkan sasaran yang jelas, berpegang pada prinsip bersih, cekap dan amanah, menunjukkan teladan yang baik, berhemah serta mesra rakyat. Kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri ini dapat memberikan inspirasi kepada rakyat, sekaligus menggembleng kekuatan mereka untuk mencapai matlamat PIN.

Dasar yang Utuh dan Matlamat yang Jelas

4. Pemimpin perlu menggubal dasar yang utuh dan menggariskan matlamat yang jelas, munasabah dan boleh dilaksanakan. Penggubalan dasar dan penetapan matlamat perlu mengambilkira pandangan dan cadangan pelbagai lapisan masyarakat dan sektor negara. Pendekatan perundingan yang digunakan untuk menggubal PIN perlu diteruskan.

5. Pencapaian sasaran PIN juga amat bergantung kepada pendidikan nilai­nilai murni secara berterusan dan berulang di kalangan pelbagai sektor dan lapisan masyarakat. Melalui cara ini nilai-nilai tersebut beransur­ansur dapat dihayati dan dilaksanakan sehingga menjadi sebahagian daripada kebiasaan hidup. Dengan dernikian ia akhirnya menjadi budaya individu dan masyarakat.

Komunikasi Berkesan

6. Salah satu faktor yang boleh menyebabkan kegagalan mana-mana perancangan perubahan termasuk PIN ialah kegagalan berkomunikasi. Oleh itu, komunikasi yang berkesan, jelas, terfokus, dan mudah difahami amat penting.

Persekitaran Budaya yang Kondusif

7. Persekitaran yang kondusif bermaksud adanya suatu budaya di mana rakyat di merata tempat berminat mengenai etika dan integriti serta mengamalkannya. Minat dan pengamalan ini akan terus berkembang apabila pemimpin menepati janjinya. Penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pula semakin berkesan dan tidak dilakukan secara 'rnemilih bulu'. Perkernbangan ini akan lebih terdorong lagi apabila tedapat penyelesaiaan terhadap kes-kes yang menarik perhatian umum.

Kerjasama Jentera Politik dan Pentadbiran

8. Sokongan padu dan kerjasarna jentera politik dan pentadbiran amat penting bagi menjayakan sasaran PIN. Koordinasi antara kedua-dua jentera tersebut, dan isyarat yang sama daripada mereka memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa bahawa keadaan sedang berubah ke arah menjadi semakin baik.

Kerangka Perundangan Berkesan dan Kehakiman yang Bebas

9. Kerangka perundangan yang berkesan dan sesuai dengan perkembangan semasa sangat penting. Pada masa yang sama, badan kehakiman yang bebas yang menjamin keadilan dilaksanakan dengan cepat dan tepat tanpa gentar atau memihak adalah amat kritikal bagi meningkatkan keyakinan rakyat. Kedua-dua ini menyurnbang kepada pencapaian sasaran PIN.

Kecukupan dan Kecekapan Sumber

10. Pelbagai syarat kejayaan di atas masih perlu dilengkapi dengan sumber manusia yang terlatih, berkemahiran dan cekap. Selain itu, sumber kewangan dan teknologi moden yang mencukupi juga amat diperlukan.

Kesediaan individu untuk Berubah

11. Dari segi pembinaan insan, peranan individu sangat penting. Pemahaman, kesedaran dan pengetahuan individu mengenai nilai-nilai murni, yang dipupuk melalui pendidikan dan komunikasi berkesan akan menyumbang kepada gerakan pemantapan integriti. Keinsafan mereka tentang perlunya kelemahan diri diatasi akan meningkatkan komitmen mereka untuk berubah. Dengan cara itu, individu berkenaan akan lebih komited kepada usaha meningkatkan amalan beretika, sekaligus integriti.

Kesimpulan

12. Gerakan pemantapan integriti ialah suatu gagasan yang semakin menawanimaginasi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Gerakan ini sedang menjadi suatu kekuatan masyarakat bagi mengurus kejayaan dan menangani kelemahan dengan berkesan. Pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) menjadi pendorong terbesar ke arah pencapaian matlamat gerakan pemantapan integriti. Kesemua ini membolehkan Malaysia secara teratur melangkah ke hadapan mencapai cita-cita menjadi sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri, serta membinanya menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment